August 07, 2011

4 Penderitaan Manusia.

1. Penderitaan sewaktu mati
Mati ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata. Kalau di ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, "Si Polan itu nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah sahaja," itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur alam syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak mati bukan kita tahu.

Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
- mata terbeliak
- telinga kembang
- berbunyi macam kerbau berdengkur

Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang yang gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang, dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang yang kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50 tahun hidup dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah sakit, tidak pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang hasad dengki. Tapi bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang pertama dihadapi adalah penderitaan mati.

Hadis juga ada menceritakan sakit mati itu bagaikan 300 tetakan pedang. Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300 kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya macam dapat 300 tetakan.

2. Penderitaan di alam kubur
Sewaktu di tanam, Hadis mengatakan, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik, setelah tujuh langkah bermulalah penderitaan kubur. Pertama kejahatan kita itu dilembagakan. Kerana busuknya kalaulah tercium, orang di dunia boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, "Kau siapa?" Lembaga itu akan menjawab, "Aku ini kejahatan engkau." Lepas itu barulah malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab, disebat hingga terperosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab malaikat akan sebat dan terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu menanggung azab itu?

3. Penderitaan Padang Mahsyar
Antara penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang jahat, matahari berada di atas ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang Mahsyar, dalam Quran diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam kotaknya, rapat, padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu hingga peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?

4. Penderitaan Neraka
Penderitaan paling dahsyat adalah Neraka. Manusia nanti kena meniti Siratal Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka. Penderitaan Neraka di antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada tengkok dan dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang ada di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka ditambah power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap hari oleh malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api Neraka. Apakah larat? Bagi orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun, 3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?

Jadi orang yang waktu hidup di dunia tidak ikut disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji Tuhan, maka ada empat penderitaan tadi yang akan ditempuh. Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah yang empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.

Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara dunia dengan dunia kita tidak fikir yang dekat, kita fikir jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya, sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, dan berfikir biar susah dahulu asalkan senang kemudian.

Nisbah kehidupan di dunia, manusia cenderung untuk fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi nisbah Akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lagi berat. Akhirat lagi utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil PhD di Amerika, pinjam duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu, nanti senang kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian. Mengapa tidak buat untuk Akhirat begitu?

Kredit dari hamba Allah.

No comments: